Select Page

Oleh: Dr Mohd Haziq Dzulkifli

NIBONG TEBAL, 11 April: Sekumpulan pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Emas di acara berprestij “I.D.E.A. Fair 2026” yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Bara-X bergambar bersama di tapak pembentangan mereka. Dari Kiri: Muhammad Faris, Azam Fahmi, Muhammad Hafizuddin, dan Muhd Isyraff

Azam Fahmi Ahmad Fazli, Muhammad Faris Muhammad Anas, Muhammad Hafizuddin Mustapa, dan Muhd Isyraff Ihsan Azahari – masing-masing pelajar Tahun 2 Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian –  mempertaruhkan kajian mereka “BaraX: Eco-Friendly and Sustainable Fire-Retardant Paint” untuk dipertandingkan. Projek tersebut mengetengahkan formulasi cat kalis api yang lebih mesra alam dan berasaskan bahan mapan, dengan potensi aplikasi dalam sektor pembinaan dan keselamatan kebakaran.

Pertandingan berprestij ini menghimpunkan lebih dari 40 penyertaan yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah, dan institusi pengajian tinggi. Diiringi penasihat kumpulan, Dr Mohd Haziq Dzulkifli, Pensyarah Kanan di FKM, UTM; kumpulan pelajar FKM ini berjaya menonjolkan hasil kajian melalui penyampaian yang bernas, hasil tunjuk ajar penasihat kumpulan.

“Kajian kami sebenarnya berorientasikan masalah kebakaran dalam kalangan masyarakat luar bandar; dalam masa yang sama, kami cuba mengenengahkan elemen kelestarian dalam kajian, sesuai dengan Sustainable Development Goals (SDGs),” ujar Muhd Isyraff Ihsan.

Hafizuddin dan Azam Fahmi ketika membuat pembentangan kepada juri I.D.E.A. Fair 2026

Keempat-empat mahasiswa ini telah pun mencipta nama sebelum ini apabila berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah Tapak Pembentangan Terbaik di Engineering Research Symposium (EuRES) dan International Fusion Invention Research Exhibition Competition (i-FIRE) yang berlangsung di University of Wollongong Malaysia (UOW), Shah Alam pada 27 November 2025. Sebelum itu, Kumpulan yang sama juga telah menjadi wakil tunggal FKM dan UTM di satu lagi pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, iaitu “International Undergraduate Innovation Competition 2025 (IUIC’25)” yang berlangsung pada 28-30 Oktober di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat; dan berjaya meraih pingat perak.

“Setelah menyertai dua pertandingan lain sebelum ini, kami berasa lebih yakin untuk menyampaikan hasil kajian kami”, kata Muhammad Hafiz, apabila ditanyakan tentang pertandingan kali ini. Menurut Azam Fahmi pula, mereka telah pun menambahbaik hasil kajian dengan melakukan beberapa ujikaji tambahan bagi menyokong dan membuktikan keberkesanan formulasi cat anti-kebakaran mereka.

“Ini adalah suatu pencapaian yang membanggakan, mengambil kira pelajar-pelajar mash lagi di Tahun 2 pengajian,” komen Dr Mohd Haziq Dzulkifli selaku penasihat kumpulan. Tambahnya lagi, beliau sentiasa menyambut baik usaha pelajar-pelajar yang bergiat aktif dengan aktiviti luar bilik darjah seperti penyertaan dalam “I.D.E.A. Fair 2026” ini kerana ia boleh mengasah kemahiran insaniah pelajar.

I.D.E.A. Fair 2026 merupakan acara tahunan anjuran USM yang menjadi platform untuk penyelidik, ahli industri, akademia, dan perekacipta untuk menonjolkan hasil kerja terkini masing-masing. Motto penganjuran pada tahun ini “Sustainovation for a Greener Nation”, menekankan elemen kelestarian dalam hasil kajian. Pada tahun ini, I.D.E.A. Fair 2026  dianjurkan pada 11-12 April 2026, dengan majlis pembukaan program ini telah dirasmikan oleh Prof Ir Dr Mariatti Jaafar selaku Pengarah Kampus Kejuruteraan USM.

UTM Open Day