Select Page

Oleh: Ts. Dr. Haris Ahmad Bin Israr Ahmad dan Mohamad Syafiq Bin Salamat

Johor Bahru, 20 Feb. – Simposium adalah merupakan satu platform kepada pelajar dan penyelidik bagi perkongsian maklumat dan dapatan kepada masyarakat. Simposium dapat membantu pelajar untuk menggilap kemahiran generik mereka. Dalam masa yang sama ia mampu meningkatkan motivasi dan jatidiri pelajar dalam menghasilkan kajian yang bermutu.

 

Inisiatif simposium ini telah dilaksanakan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dengan mengadakan program simposium The Engineer Story. Keunikan The Engineer Story adalah terbuka kepada semua pelajar, pensyarah dan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia, institusi dalam negeri dan luar negara.

 

Konsep The Engineer Story, peserta dikehendaki membuat pembentangan mengikut jadual yang telah dikeluarkan. Masa yang diberikan ialah 10 minit pembentangan dan 10 minit sesi soal jawab. Pembentangan adalah secara fizikal serta pembentangan secara hybrid sekiranya terdapat keperluan. Simposium ini akan diadakan setiap dua bulan, serta tiada yuran penyertaan akan dikenakan.

 

The Engineer Story telah dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Zaini Bin Ahmad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM. Perasmian ini telah dihadiri oleh wakil dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, wakil Universiti Teknologi Mara, Cawangan Kampus Pasir Gudang, wakil pensyarah dari Politeknik Pasir Gudang, serta beberapa wakil dari industri. Selain itu, program perasmian The Engineer Story terdapat slot pembentangan dari penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan penyelidik Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM.