Select Page

misiantartika2015

JOHOR BAHRU 24 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dengan pelancaran Ekspedisi Penyelidikan Antartika bermula esok sehingga 19 Mac ini.

Ekspedisi yang dibiayai di bawah Geran Penyelidikan Universiti itu diketuai Pengarah Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (Insteg) UTM, Prof. Dr. Mazlan Hashim.
Ia turut disertai lima pensyarah lain yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang iaitu Prof. Dr. Abdul Hafidz Omar, Dr. Mohd. Nadzri Md. Reba, Dr. Mohd. Farid Muhamad Said, Dr. Mohd. Firdaus Abdul Wahab dan Kamaruzaman Soeed.

Mazlan berkata, antara penyelidikan berimpak tinggi yang akan dijalankan di benua itu meliputi bidang sains biologi, sains sukan, kejuruteraan mekanikal dan remote sensing.
“Antara yang akan dikaji adalah berkaitan cerapan atmosfera dan lautan daripada satelit cerapan bumi, kesan senaman terhadap perubahan fisiologi tubuh badan pada suhu sejuk melampau, perubahan variasi mood terhadap perubahan cuaca serta kekuatan mental menghadapi cuaca sejuk melampau.

“Kita turut mengambil sampel air laut, tanah dan ais untuk pengasingan mikrob fotosintetik bagi kegunaan industri serta menjalankan ujian kenderaan kawalan jauh (ROV) dikenali sebagai UTM ROV Dolphin 3 dalam perairan yang sejuk melampau,” katanya di sini semalam.
Menurut Mazlan, UTM ROV Dolphin 3 bernilai RM3,000 yang dicipta sendiri sekumpulan mahasiswa dan pensyarah UTM merupakan ROV pertama buatan universiti tempatan yang akan diuji di laut Antartika.
Kata beliau, pihaknya berharap hasil kajian yang dijalankan itu kelak akan memberi manfaat dalam bidang penyelidikan serta mampu menghasilkan produk inovasi yang mampu dikomersialkan.